Monday 29 December 2014

Maksud Dokumen Terperingkat

Dokumen terperingkat ialah dokumen atau surat rasmi yang mesti diberi perlindungan untuk kepentingan keselamatan dan yang bertanda dengan sesuatu peringkat keselamatan. Maklumat dalam dokumen terperingkat mesti diberi perlindungan keselamatan berdasarkan Arahan Keselamatan yang bertujuan untuk mengawal rahsia-rahsia negara dengan berkesan. Oleh yang demikian, penyimpanan dokumen terperingkat adalah perkara yang perlu diberi perhatian dalam setiap jabatan kerajaan. Terdapat empat peringkat keselamatan yang mempunyai cara penyimpanan yang berbeza.

Peringkat pertama ialah Rahsia Besar iaitu dokumen rasmi, maklumat rasmi dan bahan-bahan rasmi yang jika didedahkan tanpa kebenaran akan menyebabkan kerosakan yang amat besar kepada negara Malaysia. Warna fail bagi Rahsia Besar adalah berwarna kuning dan berpalang merah di kulit depan dan belakang. Contohnya kertas-kertas kabinet mengenai ekonomi dan politik, maklumat perancangan ketenteraan dan surat menyurat negara asing dengan kerajaan mengenai perdagangan dan pertahanan. Penyimpanan dokumen Rahsia Besar adalah di dalam bilik kebal, peti besi yang dipasang dengan kunci kombinasi, cabinet keluli dipasang palang besi (sementara) dan bangunan yang mempunyai kawalan keselamatan yang rapi. 

Peringkat kedua adalah Rahsia iaitu dokumen, maklumat dan bahan rasmi jika didedahkan tanpa kebenaran akan membahayakan keselamatan negara, menyebabkan kerosakan besar kepada kepentingan dan martabat Malaysia atau member keuntungan besar kepada sesebuah kuasa asing. Warna fail bagi Rahsia adalah berwarna merah jambu berpalang merah di sebelah luar kulit hadapan dan belakang. Contohnya arahan penting perwakilan Malaysia yang berunding dengan negara asing. Cara penyimpanan dokumen adalah di dalam bilik kebal, peti besi dipasang dengan kunci kombinasi, cabinet keluli dipasang dengan palang besi dan bangunan yang mempunyai kawalan keselamatan yang rapi.

Seterusnya, peringkat ketiga ialah Sulit iaitu dokumen atau maklumat atau bahan rasmi jika didedahkan tanpa kebenaran walaupun tidak membahayakan keselamatan negara tetapi memudaratkan martabat Malaysia. Warna fail bagi Sulit adalah berwarna hijau. Contoh dokumen adalah laporan-laporan perisikan biasa. Cara penyimpanan dokumen adalah di dalam kabinet atau almari keluli berkunci dan simpanan sementara dalam lain-lain peti berkunci dengan kebenaran Pegawai Keselamatan Jabatan.

Terakhir adalah peringkat keempat iaitu Terhad. Terhad adalah dokumen atau maklumat atau bahan rasmi selain daripada yang diperingkatkan Rahsia Besar, Rahsia dan Sulit tetapi perlu diberi tahap perlindungan. Fail Sulit adalah berwarna putih. Contohnya adalah buku-buku jabatan bagi maksud arahan, perintah-perintah dan arahan-arahan. Cara penyimpanan dokumen ini adalah cabinet atau almari keluli berkunci dan simpanan sementara dalam lain-lain peti berkunci dengan kebenaran Pegawai Keselamatan Jabatan.

No comments:

Post a Comment