Tempahan Khas Terus Dari Penulis.
Alhamdulillah
Saya sudah terima melalui penghantaran POS Laju berkenaan buku yang dipesan daripada penulis yang sangat saya hormati, Al-Fadhil Ustaz Syaari Abd Rahman. Buku Kuasa Kepimpinan Al-Fateh Edisi 2017 ini adalah cetakan terbaharu yang terdapat penambahan dan pembetulan fakta serta pencerahan yang lebih jelas dari Ustaz Syaari Ab Rahman jika dibandingkan dengan buku yang diterbitkan sebelum ini.
Tidak Meromantikkan Al-Fateh
Kali ini pembacaan saya akan berpandukan kepada dasar tidak memuja Al Fateh atau terlalu sentimental dengan tokoh ini, sebagaimana dorongan Ustaz Syaari dalam penulisan terkini dalam buku ini, mahupun nasihat daripada guru-guru seperti Ustaz Hasrizal dan lain2.
Paling Penting ialah kembali kepada dasar ILMU dalam memahami KUASA kepemimpinan Al-Fateh.
Mesej Ustaz Syaari
Terima kasih juga ustaz syaari atas coretan tandatangan dan Mesej "Carilah Al-Fatih dalam Dirimu. 95:4" , coretan ini amat membakar semangat saya untuk terus melakukan Islah dalam memaknai Ahsani Taqwim dalam diri insha Allah.
Buku ini juga menjadi penanda ingatan saya untuk terus berhubung dengan Ustaz walau sudah agak lama tidak bertemu / berprogram dengan Ustaz seperti tahun-tahun sebelum ini.
Moga akan terlahir ditangan kita pula generasi Al-Fateh di masa akan datang yang berusaha menjadi pemuda beriman , bersemangat , berani dan bertaqwa hasil dari penelitian pendidikan Komprehensif yang di rancang oleh ibu bapa seperti kita. Ameen.
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang
sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
(Surah At-Tiin 95:4)
Kepimpinan Vs Kepemimpinan
Kepimpinan merujuk kepada posisi dalam organisasi, manakala kepemimpinan adalah proses pembelajaran menjadi manusia berpengaruh, sama ada memegang jawatan ataupun sebaliknya. Kajian membuktikan pemimpin yang memimpin dengan pengaruh dan personaliti yang menarik, dapat memintas jauh kredibiliti pemimpin yang memimpin dengan menggunakan kelebihan jawatan (formal authority) yang dimilikinya.
Pemilihan perkataan "kepemimpinan" adalah sesuai dengan tema buku ini yang mahu membongkar perjalanan Muhammad bin Murad menjadi tokoh penakluk islam yang unggul dan luar biasa pencapaiannya.
Mengkaji Blueprint Pembinaan Al-Fateh
Buku ini mendedahkan bagaimana Sultan Muhammad Bin Murad melalui proses 3P:
- Pendidikan,
- Pencerahan
- Pematangan yang panjang.
Muhammad bin Murad tidak muncul secara kebetulan dari langit ataupun lahir ke dunia secara spontan tanpa perancangan rapi. 12 faktor yang dicatat mengubah peribadi dan karakter Sultan Muhammad yang pada awalnya adalah anak raja yang nakal. Kemudiannya Sultan Muhammad menjadi manusia yang melakar sejarah yang menakjubkan.
Ayuh Menjadi Al-Fateh
Penulis buku ini turut sama mengajak pembaca melalui, melakukan dan merasakan proses yang sama melalui penghayatan buku ini. Semoga kita menjadi "Al-Fateh", (pembuka jalan perubahan) dalam pengurusan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.
"Tiada percetakan dalam kepimpinan. Pemimpin tidak lahir di dalam bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol dalam kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung umat. "- Almarhum Bapak Mohamad Nasir, Intelektual dan pendakwah dari Indonesia.
Abu Iskandar
Setia Budi Kedah - 20170415
No comments:
Post a Comment